Kebolehan dalam menyelesaikan suatu masalah Matematik bergantung kepada tahap pemikiran seseorang pelajar. Dalam proses penyelesaian berasaskan masalah dalam Matematik, pelajar harus mampu berfikir untuk memahami masalah Matematik, merancang penyelesaian, menyelesaikan dan mengaitkan masalah yang sedang dihadapi dengan pengalaman dan pengetahuan yang telah dan sedang dilalui. Penyelesaian berasaskan masalah berupaya menunjukkan perhubungan antara fakta, konsep atau teorem dalam Matematik; algoritma dan masalah dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, kemahiran menyelesaikan masalah dalam Matematik memang penting dan harus dipupuk terutama di kalangan pelajar bermula di peringkat sekolah rendah lagi.
Pemikiran adalah satu proses mental bagi memperoleh pengetahuan dan pemahaman dengan tujuan menyelesaikan masalah. Ia melibatkan penerimaan dan pemahaman rangsangan dalaman dan luaran, pembentukan konsep, pentafsiran, dan penghasilan gerak balas yang sesuai. Menurut V.R. Ruggiero, 1984, pemikiran ialah satu proses mental yang digunakan untuk membentuk serta menyelesaikan masalah dan kemudiannya membuat keputusan demi memenuhi keinginan mendapatkan jawapan.
Peringkat awal pemikiran matematik adalah penting, kerana ini akan mempengaruhi persepsi dan sikap kanak-kanak terhadap pembelajaran matematik sepanjang hayat mereka ( Renga & Dalla 1992). Ilmu awal dalam bidang matematik juga memainkan peranan dalam bagaimana seseorang membina dan memperolehi ilmu matematik pada masa hadapan. Ginsburg (1977) dalam kajiannya telah mencadangkan bahawa pemikiran informal tentang matematik telah wujud dalam kanak-kanak sejak sangat awal lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment