Wednesday, September 29, 2010

Meningkatkan kemahiran matematik murid!

Sebagai seorang guru matematik sekolah rendah, kita harus memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Ketika usia sebegini kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu,  alat bantuan mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Paiget berpendapat bahawa asas pada semua pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan kepentingan interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sebayanya penting untuk perkembangan mental.


Permainan matematik menggunakan kad adalah salah satu daripada alat bantuan mengajar yang dapat membantu murid-murid sekolah rendah memahami konsep matematik sambil bermain. 


Dengan menggunakan kad yang dimainkan dalam kumpulan kecil, kanak-kanak belajar berinteraksi dan beraktiviti sesama mereka untuk mengembangkan minda mereka secara semulajadi. Hal ini selaras dengan teori yang ditekankan oleh Paiget. Penggunaan permainan matematik sebagai alat bantuan mengajar juga adalah salah satu elemen yang memperkembangkan kurikulum pembelajaran matematik di sekolah rendah.

Secara kesimpulannya, kanak-kanak belajar matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Selain daripada itu, kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.

Kanak-kanak itu ibarat bekas yang kosong dan guru berperanan untuk memenuhkan bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Guru juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Seharusnya kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya dengan guru. Guru hanyalah seorang fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep. 

No comments:

Post a Comment